TAN Teik Cheing (kanan) bersama Ketua Perkhidmatan Feri Penang Port Sdn Bhd (PPSB) Ang Hooi Wong menunjukkan plan projek terminal feri Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) selepas meninjau kerja naik taraf terminal feri. FOTO Danial Saad
TAN Teik Cheing (kanan) bersama Ketua Perkhidmatan Feri Penang Port Sdn Bhd (PPSB) Ang Hooi Wong menunjukkan plan projek terminal feri Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) selepas meninjau kerja naik taraf terminal feri. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Ulasan bertulis berhubung projek terowong dasar laut yang diminta kerajaan negeri Pulau Pinang daripada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) akan dihantar minggu hadapan.

Pengerusinya, Datuk Tan Teik Cheng berkata, pihaknya bersama PPSB kini sedang melengkapkannya sebelum diserahkan kepada kerajaan negeri.

Katanya, ia akan menyatakan laporan terperinci dari segi kepakaran dan sudut perkapalan berkaitan projek berkenaan.

"Kita akan kemukakan laporan terperinci ulasan bertulis itu untuk tindakan kerajaan negeri.

"Pada ketika ini, kita sedang mengumpul semua maklumat dan kita ada halangan jugalah (berkaitan pembinaan terowong dasar laut) namun sudah disenaraikannya dalam laporan itu," katanya ketika ditemui selepas mengadakan walkabout bersama media untuk meninjau perkembangan projek menaik taraf kedua-dua terminal feri, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang meminta SPPP dan PPSB mengemukakan ulasan bertulis berhubung pelaksanaan projek terowong dasar laut.

Terdahulu, kerajaan Pulau Pinang menunggu ulasan bertulis daripada SPPP dan PPSB sebelum memuktamadkan keputusan bagi meneruskan projek terowong dasar laut yang sudah tertangguh hampir lapan tahun.

Yow dilaporkan berkata, projek mega itu boleh dilaksanakan menurut hasil laporan kajian kebolehlaksanaan yang dibentangkan tetapi tertakluk kepada pematuhan syarat teknikal.

Projek terowong sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai itu adalah di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP).

PIP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 3:14 PM