KON Yeow (bertopi putih) memasuki bangunan Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang, Jalan Sultan Ahmad Shah. FOTO Danial Saad
KON Yeow (bertopi putih) memasuki bangunan Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang, Jalan Sultan Ahmad Shah. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


KERAJAAN Pulau Pinang akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu agensi berkenaan menyempurnakan siasatan berhubung projek terowong dasar laut di negeri itu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, walaupun isu itu sudah berlarutan beberapa tahun namun kerajaan negeri akur dengan kehendak undang-undang yang memerlukan penyiasatan dibuat.

"Ikutkan kita boleh saja persoal mengapa dari dulu hingga bertahun-tahun selalu saja siasat tetapi tak habis-habis. Ini kita fikir, siasatan sudah masuk pusingan ketiga.

"Walaupun ada pandangan seperti ini, kita tidak ada pilihan selain memberi kerjasama kepada pihak SPRM untuk menyempurnakan siasatan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai siasatan dijalankan SPRM berhubung projek kontroversi berkenaan pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Skim Sewa Beli di Rumah Pangsa Desa Wawasan, Bukit Mertajam, hari ini.

Selasa lalu, SPRM menahan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Jeffrey Chew Gim Eam selepas mengambil keterangan lelaki itu bagi membantu siasatan berhubung projek terowong dasar laut.

Pada masa sama, SPRM juga mengadakan lawatan ke pejabat kerajaan negeri untuk bertemu dengan beberapa pemimpin termasuk Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk melengkapkan siasatan.

Kon Yeow berkata, pada minggu hadapan beliau antara yang salah seorang yang dinamakan SPRM untuk memberi keterangan berhubung isu berkenaan.

"Sebelum ini beberapa Exco dan pegawai kerajaan negeri dalam bahagian teknikal berhubung projek terbabit dipanggil untuk merekod keterangan," katanya.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki memaklumkan seramai 32 saksi tambahan sudah diambil keterangan dalam tempoh lima hari ini untuk melengkapkan siasatan projek terowong dasar laut..

"Pada minggu hadapan pula 10 ke 15 lagi saksi relevan berkenaan projek itu akan diambil keterangan," katanya.

Sebelum ini, pelbagai kontroversi tercetus terhadap projek terowong sepanjang 7.2 kilometer (KM) menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai yang dianggarkan bernilai RM6.3 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 12:27 PM