GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Klang: Banjir kilat yang melanda daerah ini susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu memberi kesan bukan sahaja kepada kawasan kediaman malah turut menjejaskan operasi perniagaan.

Tinjauan di sekitar Persiaran Hamzah Alang serta Jalan Paip di Meru, di sini, mendapati banjir di sebahagian kawasan perumahan mulai surut.

Namun masih ada kawasan perumahan termasuk lot kedai berdepan masalah 'banjir termenung' selain barang jualan turut rosak.

Peniaga pakaian terpakai, Mohd Zuhaili Mazlan, 37, berkata, kedai miliknya di Pekan Meru turut terjejas akibat banjir.

"Air masih 'termenung' dan keadaan agak teruk kerana ada pakaian yang tidak boleh dijual lagi.

"Perabot di dalam kedai saya terpaksa dibuang sebab rosak, begitu juga barang niaga ada separuh tidak boleh jual dan anggaran kerugian antara RM3,000 hingga RM5,000.

"Saya baru hendak memulakan kerja-kerja pembersihan sebab air di luar kedai masih belum surut sepenuhnya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Selangor mencatat jumlah mangsa banjir tertinggi berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan 663 mangsa membabitkan 175 keluarga.

Tiga PPS dibuka di tiga daerah terjejas iaitu masing-masing satu di Shah Alam membabitkan 356 mangsa daripada 87 keluarga, Klang dengan 253 mangsa (73 keluarga) manakala Kuala Selangor mempunyai 54 mangsa (15 keluarga).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 3:39 PM