Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan pembakaran terbuka terutama membabitkan perabot dan pakaian yang rosak akibat bencana banjir, baru-baru ini.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid berkata, tindakan itu dikhuatiri boleh menyebabkan kebakaran tidak terkawal dan pencemaran udara hingga membahayakan penduduk lain.

Menurutnya, perabot, pakaian dan peralatan yang rosak akibat banjir perlu dikumpul di kawasan rumah masing-masing bagi memudahkan syarikat konsesi, Alam Flora menjalankan aktiviti kutipan.

Katanya, usaha memindahkan sampah sedang giat dijalankan di kawasan perumahan yang ditenggelami banjir di beberapa daerah di negeri ini.

"Saya sudah mengarahkan syarikat konsesi supaya menambah lori dan jentera dalam usaha mempercepatkan proses memungut barangan yang rosak akibat banjir, baru-baru ini.

"Perabot adalah barangan paling banyak musnah diikuti pakaian dan pelbagai jenis barangan lain," katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya terlalu banyak barangan rosak akibat bencana banjir berkenaan.

"Kita tidak dapat menjangka berapa banyak sampah yang terhasil akibat banjir yang berlaku, dan kita kini sedang mengumpul data semua daerah yang terbabit dengan kejadian banjir," katanya.

Sementara itu, tinjauan di Taman Seri Inderapura, di sini, semalam mendapati ada penduduk bertindak membakar longgokan sampah yang dikumpulkan hingga memaksa kakitangan Alam Flora memadamnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 1:52 PM
KAKITANGAN Alam Flora memadam kebakaran sampah yang dikumpul di kawasan perumahan Taman Seri Inderapura. FOTO  Mohd Rafi Mamat
KAKITANGAN Alam Flora memadam kebakaran sampah yang dikumpul di kawasan perumahan Taman Seri Inderapura. FOTO Mohd Rafi Mamat