ANWAR (dua kiri) melawat mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SMK Agama Lati di Pasir Mas, Kelantan hari ini. FOTO Bernama.
ANWAR (dua kiri) melawat mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SMK Agama Lati di Pasir Mas, Kelantan hari ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

Kota Bharu: Mangsa banjir di Kelantan berharap agihan bantuan wang ihsan menerusi peruntukan RM50 juta oleh kerajaan Persekutuan dipantau supaya agihan itu telus dan adil.

Menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, penduduk Kampung Tersang, Mohd Hirwan Rajiuo, 42, berkata, langkah itu perlu bagi memastikan hanya yang benar-benar layak mendapat bantuan itu.

"Pada awal tahun ini rumah saya terkesan banjir dan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), namun nama saya tercicir daripada bantuan RM1,000.

"Sejak November hingga bulan ini pula tiga kali keluarga saya terpaksa berpindah ke PPS, justeru saya berharap agensi kerajaan Persekutuan perlu main peranan lebih baik dan pantau supaya ia tidak berulang lagi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu mangsa banjir, Suraidah Ahmad, 42, yang berlindung di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Lati berkata, usaha kerajaan menyegerakan projek tebatan banjir sangat wajar dalam mengurangkan beban yang ditanggung penduduk.

"Apabila banjir berlaku, kita akan rasa letih sebab kena pindah ke PPS lepas itu air surut kemas barang-barang di rumah pula dan itu belum lagi dikira kos yang kita rugi akibat barang rosak dan sebagainya.

"Oleh itu, keputusan kerajaan hari ini dengan segerakan beberapa projek tebatan banjir sangat tepat pada waktunya," katanya.

Mohd Suhaldi Omar, 50 dari Kampung Keroh, Kuala Krai pula berharap segala projek dan peruntukan yang diberikan kerajaan perlu digunakan sebaik mungkin oleh agensi terbabit supaya masalah banjir yang sering berlaku di Kelantan dapat diatasi dengan cepat.

"Kita tidak mahu projek-projek yang diumumkan kerajaan ini tergendala sehingga menyusahkan rakyat. Kalau janji tahun ini siap, mesti kena siap juga dan jangan beri banyak alasan kenapa ia lewat.

"Masalah banjir di Kelantan ini setiap tahun berlaku, jadi usaha oleh semua pihak sangat penting dan perbezaan politik perlu dielakkan demi rakyat," katanya.

Terdahulu Anwar dalam lawatan meninjau situasi banjir di Kelantan mengumumkan peruntukan RM50 juta kepada mangsa banjir di Kelantan yang terjejas akibat tiga gelombang bencana alam itu sejak November lalu.

Beliau turut meluluskan peruntukan segera bernilai RM6 juta untuk membina benteng sementara termasuk struktur alur limpah bagi Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Rantau Panjang bagi mengatasi masalah banjir termenung di kawasan berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 7:41 PM