Norzamira Che Noh


Klang: Mangsa banjir dari Kampung Johan Setia, di sini tidak berani untuk pulang ke rumah kerana bimbang bencana itu berulang berikutan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Zaini Md Zain, 43, yang sudah dua malam berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Johan Setia berkata, dia dan suami hanya singgah di rumah untuk melihat keadaan selepas banjir Rabu lalu.

"Saya balik tengok rumah, lepas tu datang sini (PPS) semula sebab saya tak nak fikir bagaimana hendak bersihkan sisa banjir itu.

"Keadaan cuaca yang tidak menentu juga membimbangkan saya untuk pulang kerana keluarga saya besar... saya ada enam anak berusia setahun hingga 18 tahun, dua anak saudara dan turut menjaga emak yang kurang sihat," katanya ketika ditemui di PPS, hari ini.

Peniaga gerai makanan di Persiaran Hamzah Alang, Meru, Nona Rita Mohamed, 40, pula berkata, kawasan itu yang dilanda banjir termenung biasanya akan mengambil masa hingga seminggu untuk surut sepenuhnya.

"Di sini rumah ibu saya, manakala saya tinggal di Taman Meru Jaya dan setakat ini air masuk ke bahagian dapur sahaja. Beberapa barangan penting juga sudah kami angkat ke tempat tinggi ketika air mula naik petang semalam.

"Ibu, ayah serta adik saya juga sudah berpindah ke rumah saya dan menunggu banjir ini surut sebelum kembali ke sini," katanya yang terpaksa menutup gerainya yang dibuka di hadapan rumah ibu di kampung itu.

Seorang lagi mangsa banjir yang ingin dikenali sebagai Ifa, 30-an memberitahu, kawasan Taman Sri Puteri yang didiaminya sejak tujuh tahun lalu jarang dinaiki air kecuali bencana besar pada Disember 2021.

"Saya tidak sangka selepas hampir setahun, kawasan ini banjir lagi. Walaupun air tidak setinggi seperti tahun lalu, tetapi ia juga boleh merosakkan rumah.

"Saya lihat paras air seperti makin naik berbanding awal pagi tadi," katanya.

Tinjauan di sekitar Meru, Klang serta Kampung Budiman, Shah Alam mendapati banjir di beberapa tempat masih belum surut.

Sementara itu, berdasarkan data Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir di Selangor meningkat kepada 695 orang setakat 2.55 petang.

Kesemua mangsa daripada 164 keluarga itu ditempatkan di tiga PPS iaitu SK Kampung Johan Setia, SK Sungai Binjai dan Masjid Al Falah Kampung Budiman.

Difahamkan terdapat lima mangsa banjir yang positif Covid-19 dan diasingkan di Dewan Orang Ramai Kampung Budiman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 3:42 PM