IDA Riswana Idris (kiri) dan Pengurus Kanan Saudi Airlines Malaysia, Che Zakiah Ahmad pada sidang media majlis menandatangi MOU diantara Andalusia Travel dan Saudi Airlines hari ini. FOTO Rohanis Shukri
IDA Riswana Idris (kiri) dan Pengurus Kanan Saudi Airlines Malaysia, Che Zakiah Ahmad pada sidang media majlis menandatangi MOU diantara Andalusia Travel dan Saudi Airlines hari ini. FOTO Rohanis Shukri
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd memaklumkan, sehingga kini masih belum ada pembatalan membabitkan pakej haji dan umrah kendaliannya walaupun berlaku ketegangan di Asia Barat.

Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undangnya, Ida Riswana Idris berkata, ketegangan di Asia Barat bukan punca orang ramai untuk membatalkan pakej milik mereka.

"Bagi umrah dan haji, kedua-duanya tidak ada pembatalan. Alhamdulillah, setakat ini tidak lagi menjadi satu asbab untuk orang membatalkan pakej.

"Seperti mana yang kita lihat sebelum ini, walaupun musim Covid-19 sekalipun, ramai yang masih hendak mengerjakan umrah.

"Pada pandangan saya, ibadat ini adalah tuntutan diri kita sendiri. Walaupun berlaku apa-apa ketegangan dan ketakutan, ia tidak membataskan umat Islam untuk mengerjakan ibadat," katanya pada sidang media di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Beliau terdahulu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd bersama wakil syarikat penerbangan Saudi Airlines (Saudia), Che Zakiah Ahmad.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar dilaporkan berkata, Tabung Haji (TH) setakat ini masih meneruskan persiapan bagi musim Haji 2024 seperti yang dirancang susulan ketegangan yang memuncak di Asia Barat.

Mohd Na'im berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan seperti Kementerian Luar, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi memastikan keselamatan jemaah haji dan umrah Malaysia terjamin berikutan perkembangan semasa itu.

Mengulas berkaitan MoU yang ditandatangani, Ida Riswana berkata, ia adalah kerjasama rasmi kali pertama membabitkan pihaknya bersama Saudia.

Katanya, ia membabitkan pembelian 70,000 tiket penerbangan umrah dengan nilai kontrak hampir RM230 juta bagi musim 1446 Hijrah daripada 2024 sehingga 2025.

"Dalam MoU hari ini, sebenarnya kita membabitkan satu komitmen daripada Andalusia supaya lebih banyak membuat pakej bersama Saudia, bukan sekadar umrah sahaja malah bagi penerbangan umrah ziarah kami.

"Pada masa sama, MoU ini juga memeterai beberapa lagi insentif yang memberikan kelebihan antara Andalusia dan Saudia serta komitmen Saudia untuk menyediakan penerbangan secukupnya seperti yang kita minta," katanya.

Beliau turut menyasarkan akan ada pertambahan daripada 70,000 pakej umrah yang disediakan oleh pihaknya.

"K─▒ta mengharapkan begitulah sebenarnya. Pertambahan itu mengikut kepada permintaan.

"Pada masa sama, kita juga menyasarkan kerjasama antara agensi lain di Malaysia ataupun di Indonesia untuk bekerjasama dengan Andalusia supaya kita sama-sama boleh menggunakan penerbangan Saudia," katanya.

Beliau pada masa sama turut mengumumkan pihaknya akan menawarkan destinasi ziarah di negara lain, sebelum mengerjakan umrah.

"Andalusia tidak lama lagi akan mempelopori destinasi lain disebabkan ketika ini, kita hanya terhad kepada Jordan dan Baitulmaqdis.

"Insya-Allah, kita akan masuk ke negara seperti Uzbekistan, Azerbaijan atau Tunisia sebelum mengerjakan umrah. Itu antara destinasi baru yang kita akan adakan pada 1446 Hijrah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 1:43 PM