MUHAMMAD Sanusi, gambar fail. FOTO Syaharim Abidin
MUHAMMAD Sanusi, gambar fail. FOTO Syaharim Abidin
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan dakwaan ejen hartanah bahawa ada 404 hektar kawasan pembalakan di Gunung Inas, Baling seperti iklan yang tular di media sosial sebelum ini.

Beliau berkata, tawaran itu adalah kerja scammer kerana ia tidak melalui kelaziman proses pembalakan di negeri ini.

Katanya, kuota pembalakan akan diberikan kepada anak syarikat kerajaan negeri seperti Perbadanan Menteri Besar (MBI) dan perlu melalui proses yang ditetapkan.

"Tak betul tu, memang ada kuota tahunan kepada GLC (syarikat berkaitan kerajaan) tapi tak ada dah di lokasi yang depa dok jaja tu, kuota ada tapi kawasan tak ada nak buat apa...

"Sapa (siapa) nak beli kuota GLC tu kena cam kawasan dulu, dah ada kawasan lepas itu boleh la mai (datang) minta atas kuota tu... amalan puluh-puluh tahun dah, sampai la ni kawasan dah tak dak kuota dok ada lagi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sanusi berkata tiada sebarang kelulusan pembalakan di kompartment 21 di gunung berkenaan seperti yang di dakwa ejen berkenaan.

Katanya, kebanyakan kuota yang diberikan kepada GLC sebelum ini sudah digunakan.

Beliau menegaskan tiada lagi tapak pembalakan baharu yang diluluskan di hutan simpan Kedah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutama di bawah kepimpinannya sejak Mei 2020.

Pada 29 Mac lalu, media melaporkan seorang ejen hartanah mendakwa iklan menjual balak dan kawasan pembalakan seluas 404 hektar di Gunung Inas, Baling dengan harga RM15 juta adalah sah.

Ejen yang enggan namanya didedahkan mendakwa lokasi itu membabitkan kompartmen 21 yang sudah diperuntukkan sebagai kawasan pembalakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2024 @ 5:18 PM