GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
M Hifzuddin Ikhsan

Alor Setar: Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan terdapat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang mendapat kuota pembalakan berhutang bayaran premium sehingga RM38 juta kepada kerajaan negeri.

Muhammad Sanusi (PAS-Jeneri) berkata, ada GLC ini bertindak menjual kuota pembalakan yang diberi bagi tempoh beberapa tahun, namun gagal membuat pembayaran premium kepada Jabatan Perhutanan Negeri (JPN) Kedah.

"Masuk menjadi Menteri Besar saya ada masalah di mana ada GLC yang menjadi beban. Ada GLC kononnya setiap tahun dapat kuota pembalakan tetapi kuota tahunan itu sudah habis. Kuota tahun depan dan tahun depan sekali lagi juga habis.

"Ada GLC bawah pemantauan saya berhutang premium dengan JPN Kedah sebanyak RM38 juta. Mereka ini jual kuota pembalakan berapa puluh tahun saya tidak tahu, tetapi ia dibuat atas alasan projek ladang hutan," katanya ketika perbahasan menjunjung kasih titah ucapan Sultan Kedah pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, dalam syarat pelaksanaan ladang hutan, Kedah dibenarkan membuka ladang hutan seluas kira-kira 15,000 hektar berbanding keluasan keseluruhan hutan sebanyak 106,000 hektar.

"Dalam dasar ladang ganti perhutanan, kita dibenarkan buka 15 peratus daripada jumlah keseluruhan hutan tetapi kita sudah melepas had itu. Ketika saya jadi Menteri Besar, kita sudah ada kelulusan 22,000 hektar rancangan ladang hutan.

"Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia menetapkan hanya tujuh spesis pokok dibenarkan ditanam di ladang hutan bagi bekalan kayu negara, tetapi ada pula ladang hutan yang ditanam pokok durian jenis musang king yang bertujuan diambil buahnya," katanya.

Berikutan itu beliau menjelaskan, kerajaan negeri berada dalam keadaan terikat bagi melaksanakan program ladang hutan berkenaan kerana kelulusan sudah diberikan lebih awal tanpa penetapan kawasan yang boleh dibalak.

Katanya, jika kuota yang sudah diberi kelulusan itu dibatalkan, maka kerajaan negeri terpaksa membayar balik bayaran premium tinggi selain turut berkemungkinan diseret ke mahkamah oleh syarikat terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 3:30 PM