FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Omar Ahmad


Johor Bahru: Seorang lelaki ditahan berhubung video tular pergaduhan di Petronas Bukit Indah, Taman Bukit Indah, di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Ibrahim Mat Som berkata, suspek berusia 35 tahun ditahan di Lebuhraya Kota Iskandar pada jam 12 tengah hari tadi.

Katanya, polis menerima laporan daripada lelaki berusia 26 tahun yang mendakwa dipukul oleh suami kawannya.

"Suspek juga membuat laporan polis berhubung kejadian.

"Hasil soal siasat ke atas pengadu dan suspek, kejadian dipercayai berpunca daripada cemburu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ibrahim berkata, permohonan reman dilakukan terhadap suspek bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan," katanya.

Sejak semalam, tular video pergaduhan membabitkan dua lelaki dan seorang wanita.

Video turut memaparkan seorang lelaki berbaju hitam menumbuk seorang lelaki dan dihalang seorang wanita dipercayai pasangannya.

Namun wanita terbabit turut ditumbuk lelaki terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2024 @ 3:33 PM