INSIDEN dipercayai membabitkan pergaduhan adik-beradik yang tular di FB.
INSIDEN dipercayai membabitkan pergaduhan adik-beradik yang tular di FB.
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Dua beradik ditahan polis selepas video pergaduhan mereka dengan memegang parang di sebuah kedai bunga di daerah ini tular di Facebook (FB).

Video berdurasi tiga minit itu dipercayai tular di laman sosial berkenaan, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, berikutan itu, satu laporan polis dibuat oleh seorang lelaki pada 1 tengah hari berkaitan pergaduhan itu pada hari kejadian.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, dua beradik lelaki 29 dan 36 tahun itu dipercayai bergaduh akibat hutang.

"Mereka sudah pun ditahan pada 10 malam hari kejadian untuk membantu siasatan.

"Hasil semakan mendapati, kedua-duanya tidak mempunyai rekod lampau jenayah dan ujian saringan awal air kencing mendapati mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Adzli berkata, bagaimanapun dua beradik itu dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menakutkan secara jenayah.

"Susulan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak memuat naik ke media sosial, namun sebaliknya tampil ke balai polis berhampiran untuk memberi maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 8:53 AM