GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Dua anggota polis yang pernah ditahan bagi membantu kes pemerasan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, awal April lalu sekali lagi ditahan semalam.

Timbalan Ketua Polis Johor Bahru Selatan Superintendan Lim Jit Huey berkata, kedua-dua anggota polis berkenaan ditahan selepas pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 50 tahun mendakwa diugut anggota terbabit di BSI pada awal Januari lalu.

"Polis menerima laporan pada 11.21 pagi semalam. Pengadu mendakwa diperas RM1,000 oleh kedua-dua anggota polis terbabit ketika di BSI pada 8.40 malam, 4 Januari lalu.

"Anggota polis berusia 33 dan 34 tahun itu ditahan petang semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan semalam bagi membantu siasatan kes berkenaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua anggota polis itu masih bekerja selagi belum mendapat perintah tahan kerja, namun mereka tidak lagi bertugas di BSI.

"Bagi siasatan baharu, permohonan reman terhadap kedua-dua suspek dibenarkan selama tiga hari bermula hari ini sehingga Isnin depan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan di 07-2182424 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Fadzil Tuan Wil di talian 013-4472909.

Pada 5 April lalu, akhbar ini melaporkan dua anggota polis yang terbabit dalam insiden pemerasan seorang lelaki di BSI ditahan.

Mangsa dikenali sebagai Lim didakwa diperas supaya membayar RM2,000 bagi mengelakkan daripada ditangkap dan ditahan di lokap polis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 4:17 PM