GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Dua anggota polis yang ditahan bagi membantu kes pemerasan terhadap orang awam di Bangunan Sultan Ismail (BSI), di sini, kembali bertugas sehingga dikenakan perintah tahan kerja.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, perintah tahanan reman terhadap kedua-dua anggota polis itu tamat hari ini.

Beliau berkata, berikutan masih tiada perintah tahan kerja, mereka kembali bertugas.

"Mereka kembali bertugas di bawah kontinjen Johor sehingga ada arahan perintah tahan kerja," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar dilaporkan berkata, beliau mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) untuk menghantar surat cadangan mendapatkan perintah tahan kerja kepada Bukit Aman.

Pada 5 April lalu, dua anggota polis yang bertugas di BSI ditahan bagi membantu siasatan kes pemerasan dengan meminta RM2,000 supaya tidak mengambil tindakan terhadap seorang individu yang mempunyai rekod kesalahan lampau.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 11:43 AM