PEMANDU e-hailing cedera dipukul seorang lelaki dalam kejadian di hadapan sebuah pusat beli belah di Jalan Datuk Keramat. FOTO Tular
PEMANDU e-hailing cedera dipukul seorang lelaki dalam kejadian di hadapan sebuah pusat beli belah di Jalan Datuk Keramat. FOTO Tular
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Pemandu e-hailing cedera dipukul seorang lelaki dalam kejadian di hadapan sebuah pusat beli belah di Jalan Datuk Keramat di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, terdahulu mangsa berusia 30-an mengambil suspek yang juga pelanggan e-hailing pada 6.20 pagi.

Berdasarkan laporan dibuat mangsa, lelaki berkenaan mendakwa menerima tempahan bagi mengambil suspek bersama dua lagi wanita di hadapan kompleks berkenaan.

"Bagaimanapun, ketika lelaki itu membuka pintu belakang kereta Perodua Ativa dipandu mangsa, dia mendapati suspek minum minuman keras berikutan bau alkohol sangat kuat.

"Susulan itu, mangsa memberitahu akan membatalkan pesanan sekiranya lelaki berkenaan masih enggan menaiki kenderaan sebelum tiba-tiba suspek bertindak memukul mangsa berkali-kali," katanya di sini, hari ini.

Razlam berkata, bagi mempertahankan diri, mangsa menyembur serbuk lada ke arah suspek sebelum tampil membuat laporan.

Menurutnya, selain menumbuk mangsa, suspek turut bertindak mengoyakkan baju pemandu e-hailing itu.

"Mangsa turut mendakwa mengalami kecederaan ringan pada bahu, leher, dada dan sakit di bahagian muka akibat insiden berkenaan.

"Setakat ini, kita masih mengesan suspek yang terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 3:56 PM