KENDERAAN e-hailing yang kemalangan di Lebuhraya Damansara Puchong. FOTO Ihsan Bomba
KENDERAAN e-hailing yang kemalangan di Lebuhraya Damansara Puchong. FOTO Ihsan Bomba
Samadi Ahmad


SEORANG penumpang wanita warga China maut, manakala rakannya dan pemandu kenderaan e-hailing cedera dalam kemalangan di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dari arah Cyberjaya ke Puchong, hari ini.

Kemalangan 3.50 petang itu dipercayai berlaku apabila kenderaan e-hailing Perodua Bezza itu terbabas lalu melanggar tiang lampu di penghadang jalan.

Mangsa yang maut, Li Li Mei, manakala rakannya yang terselamat, Lin Wen Chun, masing-masing berusia lingkungan 40-an.

Pemandu lelaki dikenali sebagai Sinesh, 22, dikatakan cedera ringan dan dibantu orang awam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, Mohamad Razi Abdul Muttalib berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 3.53 petang sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian.

Katanya, setiba di tempat kejadian kedua-dua mangsa yang cedera dikeluarkan oleh orang awam, manakala penumpang wanita yang maut berada di bahagian tempat duduk belakang.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Putrajaya bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

PENUMPANG warga China yang dalam kemalangan. FOTO Ihsan Bomba
PENUMPANG warga China yang dalam kemalangan. FOTO Ihsan Bomba

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 8:44 PM