FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Tindakan seorang lelaki mabuk membuat provokasi serta mengeluarkan pisau lipat di pos pengawal Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini, mengundang padah apabila dia diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian jam 8.10 malam Selasa lalu, petugas Pos Pengawal IPD Ampang Jaya didatangi lelaki berusia 39 tahun yang berhenti di hadapan pos pengawal.

Menurutnya, suspek yang menunggang motosikal mendekati anggota polis tugas dan membuat provokasi.

"Suspek dalam keadaan mabuk dan tidak terkawal. Amaran diberikan namun suspek bertindak semakin agresif sebelum mengeluarkan pisau lipat dalam simpanannya.

"Tangkapan terus dilakukan dan berlaku sedikit pergelutan pergelutan," katanya.

Beliau berkata, suspek mendapat luka di dahi kerana bertindak menghentak kepalanya di jalan semasa proses digari untuk tujuan tangkapan.

"Suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau. Turut dirampas sebilah pisau lipat berwarna perak.

"Suspek direman sehingga 19 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 90 Akta Polis iaitu berkelakuan tidak senonoh di balai polis.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan 1958," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 4:47 PM