GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Cinta tidak direstui menyebabkan seorang lelaki Rohingya sanggup menculik kekasihnya sebelum mereka bernikah di Johor tanpa pengetahuan keluarga remaja perempuan itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pada jam 2.30 petang 7 Disember lalu, abang remaja perempuan berusia 19 tahun yang juga etnik Rohingya bekerja sebagai tukang sapu mendapat tahu adiknya, 13, dibawa lari suspek, 17.

Suspek didakwa membawa lari kekasihnya itu menaiki kereta ketika berada di Jalan Memanda Ampang Point, di sini.

Menurutnya, susulan itu, pada jam 3.40 petang semalam, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya membuat tangkapan terhadap dua lelaki pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) berusia 17 tahun dan bapanya berusia 37 tahun di sekitar kawasan Kampung Pandan.

"Semasa tangkapan juga, mangsa turut bersama dengan suspek.

"Punca kejadian dipercayai suspek ingin berkahwin dengan mangsa namun tidak direstui oleh ahli keluarga mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, suspek bertindak membawa lari mangsa dengan tujuan untuk berkahwin.

"Suspek juga mempunyai satu rekod jenayah lampau manakala saringan air kencing mendapati dia negatif dadah.

"Turut dirampas dua telefon bimbit untuk membantu siasatan di mana suspek direman sehingga 22 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 3:35 PM