GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Perkenalan singkat di perhentian bas di sini, berakhir tragedi apabila seorang wanita dipukul dan dirogol di sebuah rumah di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 34 tahun berkenalan dengan suspek berusia 41.

Menurutnya, mangsa kemudian diajak menaiki motosikal ke rumah suspek di Pandan Indah di sini, untuk menagih dadah.

"Semasa berada di rumah itu, suspek bertindak memukul mangsa di bahagian badan, kepala dan muka sebelum merogolnya sambil disaksikan seorang lagi wanita yang disyaki teman wanitanya.

"Susulan itu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ampang Jaya menangkap suspek di sebuah bilik hotel di kawasan Batu Caves, Gombak, jam 6.30 petang semalam.

"Tangkapan membabitkan lelaki dan wanita berusia 41 dan 39 tahun," katanya tadi.

Beliau berkata, suspek pertama mempunyai 29 rekod jenayah dan dadah manakala suspek kedua mempunyai sembilan rekod dadah.

"Ujian air kencing dijalankan ke atas kedua-dua suspek didapati positif jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

"Lelaki itu direman seminggu bermula manakala wanita direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 5:03 PM