KECEDERAN dialami pemandu e-hailing yang dibelasah sekumpulan lelaki di Pandan Perdana. FOTO Ihsan PDRM.
KECEDERAN dialami pemandu e-hailing yang dibelasah sekumpulan lelaki di Pandan Perdana. FOTO Ihsan PDRM.
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Tiga lelaki yang membelasah pemandu e-hailing dalam kejadian 27 Disember lalu, ditahan di sekitar sini dan Pandan Indah, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menahan suspek berusia 25 hingga 48 tahun antara 7.30 malam hingga 9 malam.

Menurutnya, kejadian bermula apabila mangsa berusia 41 tahun menuntut seorang daripada suspek memohon maaf selepas memukul dia di rumah di Jalan 9/10 Pandan Perdana.

"Bagaimanapun, suspek didakwa mencekik leher mangsa, sebelum sekumpulan orang mengekori mangsa ke padang permainan dan terus memukulnya menggunakan besi, selain menyepak serta menumbuknya.

"Mangsa mengalami kecederaan di kening sebelah kiri, belakang badan dan kepala. Dia membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya hari ini.

Beliau berkata, susulan penahanan, polis merampas satu botol penyembur lada disyaki barang yang digunakan semasa kejadian, manakala ujian air kencing ke atas semua suspek didapati positif dadah jenis THC.

Katanya, semakan dibuat juga menunjukkan suspek pertama dan kedua mempunyai rekod kesalahan lampau masing-masing enam dan satu.

Menurutnya, mereka direman empat hari mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 6:51 PM