AHMAD Jazlan (tiga dari kiri) beramah mesra dengan pengamal media di Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Bahagian UMNO Kelantan, di sini, hari ini. FOTO  Nor Fazlina Abdul Rahim
AHMAD Jazlan (tiga dari kiri) beramah mesra dengan pengamal media di Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Bahagian UMNO Kelantan, di sini, hari ini. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Seramai lebih 70,000 peserta Felcra Berhad di seluruh negara menerima bayaran dividen membabitkan nilai keseluruhan RM74 juta bagi musim ketiga tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, berkata kesemua bayaran berkenaan sudah diselesaikan beberapa hari lalu.

Katanya, sebanyak tiga kali pembayaran dividen akan diberikan setiap tahun dan jumlah dividen terbabit bergantung kepada harga minyak sawit mentah dunia.

"Jika harga meningkat, dividen juga bertambah dan pemberian dividen yang dibuat beberapa hari lalu membabitkan musim ketiga tahun lalu.

"Pembayaran dibuat secara dalam talian itu sekaligus membolehkan peserta membuat persiapan raya," katanya pada sidang media ketika Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Bahagian Umno Kelantan, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Jazlan turut menyifatkan Kelantan antara negeri yang menyedihkan apabila tidak memberi tanah kepada FELCRA untuk dibangunkan, berbanding negeri lain.

"Kita akui beberapa negeri lain tidak boleh memberi tanah disebabkan negeri yang kecil seperti Perlis, Wilayah Persekutuan pula berdepan kekangan tanah.

"Kita faham bagi negeri berdepan kekangan seperti itu. Namun bagi Kelantan mereka tidak langsung mahu membantu rakyat dengan memberikan tanah kepada FELCRA.

"Jika tanah diberikan kepada kita, mereka boleh menamakan sendiri peserta mereka sama da terdiri daripada penyokong mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 8:32 PM