ALI (dua dari kanan) bersama tiga wakil lain menunjukkan surat permohonan mengusaha sendiri dan surat tuntutan hutang. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
ALI (dua dari kanan) bersama tiga wakil lain menunjukkan surat permohonan mengusaha sendiri dan surat tuntutan hutang. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
Noor Hidayah Tanzizi

KAMPUNG GAJAH: Seramai 80 peserta FELCRA Bandar Seberang Perak, Changkat Lada di Kampung Gajah mendakwa tidak menerima bantuan khas Aidilfitri dan bayaran hasil pendapatan tanaman untuk April lalu.

Wakilnya Ali Hasan, 71, berkata, mereka tidak menerima bayaran RM1,020 iaitu RM300 untuk bantuan khas hari raya dan RM720 untuk pembayaran hasil pendapatan tanaman.

Menurutnya, pembayaran itu didakwa seolah-olah disekat selepas mereka menghantar surat kepada pengurusan pihak berkaitan untuk mengusahakan tanaman padi secara sendiri pada 18 April tahun lalu.

"Kami seolah-olah diabaikan pihak pengurusan kerana tidak menerima bantuan seperti yang diumumkan kerajaan, baru-baru ini.

"Bayaran hasil tanaman padi dan kelapa sawit untuk April juga belum diterima sehingga kini.

Sepatutnya wang itu boleh digunakan untuk perbelanjaan Aidilfitri dan kelangsungan hidup kami susulan wabak Covid-19," katanya ketika ditemui di Seberang Perak, hari ini.

Katanya, susulan permohonan untuk mengusahakan sendiri, pihak berkenaan memaklumkan ia tidak diluluskan, namun sehingga kini tiada sebarang dokumen rasmi yang menyatakan mereka sudah dikeluarkan daripada peserta FELCRA.

"Jika kami masih sah sebagai peserta FELCRA mengapa hak kami untuk menerima bantuan khas itu dinafikan dan sepatutnya kami masih layak menerima semua manfaat sama seperti peserta lain.

"Kami juga tidak menerima sebarang notis atau pemberitahuan untuk menjelaskan perkara itu dan maklumat berkaitan kecuali surat tuntutan hutang pada tahun lalu.

"Bila kami mahu bayar mereka dakwa tidak boleh terima atas alasan berkaitan akaun. Jadi, kami rasa seperti dipermainkan," katanya yang sudah menghantar surat berkaitan isu itu kepada pengurusan tertinggi pihak berkenaan.

Dalam pada itu, Ali berkata, kos mengusahakan padi semusim oleh pihak FELCRA juga terlalu tinggi sebelum ini dan mereka turut mendakwa hasil padi dan sawit untuk dua musim pada 2018 tidak dibayar.

"Mereka mendakwa pembayaran tidak dibuat atas alasan tiada keuntungan. Hasil sawit kemudian dibayar semula pada 2019 dan padi pula bermula pada Januari tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 4:58 PM