DATUK Seri Mahdzir Khalid menyampaikan peruntukan Program Perlengkapan Kampung Ameniti Sosial di Kampung Empila, Kota Samarahan, hari ini.  FOTO ihsan KPLB
DATUK Seri Mahdzir Khalid menyampaikan peruntukan Program Perlengkapan Kampung Ameniti Sosial di Kampung Empila, Kota Samarahan, hari ini. FOTO ihsan KPLB
Mohd Roji Kawi


Kota Samarahan: Sejumlah RM1 juta dibelanjakan Felcra bagi membantu keperluan Ameniti Sosial termasuk menaik taraf infrastruktur di kawasan perkampungan pesertanya di luar bandar Sarawak.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kesemua perbelanjaan itu diperuntukkan di bawah Program Perlengkapan Kampung Ameniti Sosial, Program Perlengkapan Kampung-Premis Perniagaan dan Sumbangan Prihatin Felcra 2021.

"Selain itu, sebanyak RM30,500 dana diperuntukkan bagi membaiki bengkel tenunan songket kepada usahawan kampung peserta Felcra dan juga Sumbangan Prihatin Felcra kepada Kampung Empila berjumlah RM8,500," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis Mesra Peserta Felcra Bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar di Dewan Masyarakat Kampung Empila di sini, hari ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak RM100,000 diperuntukkan bagi kerja baik pulih Dewan Sri Villa di Kampung Empila, RM48,800 dana kepada enam usahawan bimbingan Felcra.

Selain itu, katanya, sebanyak RM775,800 dibelanjakan bagi menaik taraf dan membaik pulih bangunan awam di kawasan penempatan peserta Felcra membabitkan 10 kampung.

Sementara itu, Mahdzir berkata, Felcra sentiasa komited dalam usaha menyelesaikan isu berhubung kadar dividen peserta terutama melibatkan penduduk di luar bandar.

"Insya-Allah tahun ini dan tahun yang akan datang mungkin keadaan akan beransur pulih dan menjadi lebih baik selain harga kelapa sawit juga dapat berada pada tahap yang lebih tinggi.

"Disebabkan itu, mungkin dividen yang diberikan nanti akan lebih memuaskan kepada peserta-peserta," katanya.

Beliau yakin dengan harga kelapa sawit yang tinggi dan pemotongan hutang peserta yang rendah, dapat memberikan pulangan semula dalam bentuk dividen yang lebih menguntungkan.

"Saya yakin dengan harga kelapa sawit yang tinggi dan pemotongan kepada peserta tidak terlalu tinggi, ia boleh diberikan semula dalam bentuk dividen kepada peserta dan sekiranya peserta mempunyai hutang dengan Felcra dan menanam kelapa sawit dalam tempoh kira-kira lima tahun, jumlah itu perlu dibayar semula.

"Misalnya, pendapatan seorang peserta berjumlah RM5,000 dan dipotong RM2,000, ini bermakna mereka hanya ada RM3,000 namun jika RM5,000 itu dipotong hanya RM500, mereka akan ada RM4,500 dan kiraan dividen mereka adalah daripada jumlah ini, jadi tinggilah," katanya.

Menurutnya lagi, dividen yang diberikan ketika ini secara purata adalah antara RM500 hingga RM7,000.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 6:22 PM