GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Walaupun beberapa kali 'kantoi' dengan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seorang wanita terus mengemis kerana mampu memperoleh lebih RM700 dalam tempoh tiga hari melakukan kegiatan itu di sekitar Kota Bharu di sini.

Pada Rabu lalu, wanita berusia 58 tahun itu sekali lagi ditahan ketika mengemis oleh pegawai penguat kuasa JKM Negeri Kelantan melalui operasi sempena Ramadan.

Pengarah JKM Kelantan, Said Sidup berkata wanita berkenaan dibantu dan ditempatkan buat sementara waktu di Rumah Sri Kenangan, Taman Kemumin, Pengkalan Chepa, untuk siasatan lanjut.

"Hasil semakan juga mendapati wanita berkenaan adalah penerima bantuan bulanan JKM selain mempunyai suami yang perlu ditanggung.

"Kami terpaksa mengambilnya selepas beberapa kali memberikan nasihat serta amaran namun dia masih berdegil melakukan aktiviti mengemis, jadi tindakan mengambilnya untuk dibantu perlu dilakukan," katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Pasca Banjir Sempena Program Kembali Ke Sekolah Yayasan Sime Darby 2024 di Sekolah Kebangsaan (SK) Rahmat di sini, hari ini.

Sementara itu, Said berkata, sepanjang Ramadan ini, pihaknya membantu 25 pengemis di sekitar Kota Bharu dan Kubang Kerian.

"Pengemis terbabit berusia dalam lingkungan 30 sehingga 70 tahun dan mereka sudah berulang kali dinasihatkan JKM namun masih menjalankan kegiatan berkenaan.

"Biasanya pengemis diserahkan kepada keluarga selepas menerima khidmat kaunseling tetapi bagi yang tiada waris akan dihantar ke Rumah Desa Bina Diri di Jerantut, Pahang bagi menjalani tempoh perintah selama tiga tahun.

"Pihak kami juga mendapati bahawa jumlah pengemis bertambah pada bulan Ramadan terutama yang datang dari Thailand, namun mereka biasanya akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut" katanya.

Menurutnya, operasi bersepadu dijalankan pada bulan puasa dengan kerjasama agensi lain seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK), Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JIM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 6:41 PM