Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: "Saya ke sini untuk cari wang bagi kos rawatan anak sulung menghidap Cerebral Palsy (CP), kami juga perlu duit untuk makan," kata wanita warga asing yang ditahan mengemis di Pasar Besar Siti Khadijah, di sini, semalam.

Dalam Operasi Banteras Pengemis itu, pihak penguat kuasa yang membuat rondaan pada mulanya menahan dua anak wanita itu yang menjual kerepek di tangga pasar.

Pada ketika itu, ibu mereka tiada dan setibanya di pasar, wanita berkenaan berlari ke arah anak sulungnya yang duduk di kerusi roda dan ditolak pasukan penguat kuasa.

Selepas dipujuk dan diberi penerangan, wanita itu akur dan tiga beranak terbabit dibawa ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Menurut wanita berusia 46 tahun itu, dia datang ke negeri ini sejak seminggu lalu untuk mencari pendapatan tambahan selepas tempat kerjanya di Pattani, Thailand ditutup sementara waktu dan menyewa rumah di Kota Bharu.

"Saya terpaksa membawa dua anak yang berusia 18 dan 22 tahun bersama kerana tidak ada sesiapa yang hendak menjaga mereka selepas suami meninggal dunia sejak sembilan tahun lalu," katanya.

TIGA beranak yang ditahan dalam Operasi Banteras Pengemis. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
TIGA beranak yang ditahan dalam Operasi Banteras Pengemis. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Operasi itu membabitkan pegawai dan anggota JKM, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEIK) bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Seramai 15 pengemis termasuk tujuh warga Thailand dan tiga kanak-kanak diselamatkan.

Wanita itu mendakwa dia tidak tahu mengenai penguatkuasaan undang-undang dan ketegasan penguat kuasa di negeri ini.

"Ini adalah kali pertama saya mengemis dan tidak menyangka ini pula yang terjadi.

"Saya pilih jalan mudah untuk dapatkan wang, sebab saya tidak tahu cara nak tambahkan pendapatan.

"Apa pun kali ini saya memang serik mengemis. Saya berjanji tidak akan mengemis lagi dan mencari rezeki di negeri sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 12:51 PM