KEADAAN bangkai buaya tembaga yang ditemukan mati di Sungai Selangor, berhampiran Kampung Kuantan, semalam. FOTO Ihsan Perhilitan Selangor
KEADAAN bangkai buaya tembaga yang ditemukan mati di Sungai Selangor, berhampiran Kampung Kuantan, semalam. FOTO Ihsan Perhilitan Selangor
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor mengesahkan seekor buaya tembaga mati di Sungai Selangor, berhampiran Kampung Kuantan, di sini, semalam.

Pengarah Perhilitan Selangor, Dennis Ten Choon Yung berkata, bangkai reptilia itu yang belum dikenal pasti jantinanya dengan berat kira-kira 500 hingga 600 kilogram ditemukan terapung oleh penduduk kampung.

"Buaya itu dipercayai mati dalam tiga hingga empat hari berdasarkan keadaan fizikalnya.

"Malah, ketika hidupan liar itu ditemukan ia sudah kembung dan mulai reput," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ten berkata, bangkai buaya itu kemudian ditarik naik ke darat oleh penduduk.

Menurutnya, ketika ini, pihaknya masih menjalankan pelupusan bangkai.

Semalam, tular di laman Facebook memaparkan beberapa gambar bangkai seekor buaya yang terapung di Sungai Selangor.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook, buaya yang diberi nama 'Pak Itam' itu dipercayai 'menemani' pemancing udang di daerah ini sejak berdekad lalu.

"Akhirnya 'Pak Itam' pergi di bulan mulia (Ramadan). Selamat jalan 'Pak Itam'.

"Ramai pemancing kenal 'Pak Itam'. Baik dan tidak pernah ganggu orang," menurut hantaran berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 8:08 AM