Seekor tapir mati akibat kemalangan dengan motosikal Kawasaki Z250 di Jalan Sungai Panjang, semalam. IHSAN TULAR
Seekor tapir mati akibat kemalangan dengan motosikal Kawasaki Z250 di Jalan Sungai Panjang, semalam. IHSAN TULAR
Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: Insiden membabitkan haiwan liar berulang apabila seekor tapir dewasa mati akibat dirempuh motosikal di Jalan Sungai Panjang, di sini, semalam.

Kejadian terbaru ini berlaku kurang 24 jam selepas seekor harimau dahan jantan turut mati dilanggar kenderaan di Kilometer 253.3, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah Trong menghala ke Beruas, Perak, kelmarin.

Dalam nahas terbaru itu, penunggang motosikal Kawasaki Z250 yang merempuh tapir itu cedera dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.

Bagaimanapun tapir jantan dewasa berkenaan mati di tepi jalan akibat kecederaan parah.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, hasil pemeriksaan fizikal mendapati haiwan liar itu cedera di bahagian kepala.

"Siasatan awal mendapati tapir jantan itu berasal dari kawasan Hutan Simpan Sungai Karang iaitu kurang satu kilometer dari kawasan kejadian. Lokasi itu adalah kawasan `hotspot' lintasan hidupan liar.

"Tapir itu sudah dibawa ke Pejabat Perhilitan untuk tujuan bedah siasat," katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam perkembangan sama, Wan Mohd Adib memaklumkan nahas sama turut berlaku di Hulu Selangor pada 19 Mac lalu.

"Kejadian berlaku di Jalan Sungai Tengi - Bukit Tagar membabitkan seekor tapir jantan yang dilanggar sebuah kereta," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai diminta lebih berhati-hati ketika memandu di kawasan lintasan hidupan liar, mematuhi had laju, rendahkan lampu kenderaan dan memperlahankan kenderaan sekiranya terlihat papan tanda lintasan hidupan liar.

Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan PERHILITAN melalui talian hotline PERHILITAN 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 12:48 PM