Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya ketika menjalankan operasi Memburu Ikan Bandaraya Di Denai UKM Sungai Langat. FOTO Ihsan FB Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya
Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya ketika menjalankan operasi Memburu Ikan Bandaraya Di Denai UKM Sungai Langat. FOTO Ihsan FB Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya
Hakimi Suria Kencana


Kuala Lumpur: Biarpun populasi ikan bandaraya dalam sungai di ibu negara semakin membimbangkan, sebaliknya ia menjadi 'rezeki' buat pemancing ikan air tawar.

Ini berikutan telur ikan berkenaan didakwa boleh dijadikan umpan sekali gus diburu kaki pancing.

Pemancing ikan air tawar Mohamad Haziq A Rahman, 36, berkata pihaknya bimbang pertambahan populasi ikan bandaraya atau ikan tombot di sekitar sungai, di sini, sehingga mengancam ekosistem.

"Ketika memancing, kami melihat dominasi ikan bandaraya berbanding spesies ikan tempatan lain dan hal ini menjadi kebimbangan kami akan kelestarian ekosistem sungai.

"Justeru, kami mengambil inisiatif membentuk Kumpulan Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya di platform sosial seperti Facebook untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung masalah ini," katanya.

Malah, mereka berjaya menangkap hampir 500 ekor ikan di Sungai Langat dekat Denai UKM, baru-baru ini di mana majoritinya adalah ikan bandaraya.

Difahamkan, populasi ikan bandaraya mendominasi antaranya Sungai Klang, Sungai Semenyih, Sungai Kuyoh dan Sungai Ara Damansara.

Menurut pengasas Kumpulan Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya itu, mereka juga menguji penggunaan telur ikan bandaraya sebagai umpan dan terbukti berjaya.

Menurutnya, berikutan itu mereka mula menyebarkan di media sosial bahawa telur ikan bandaraya boleh dijadikan sebagai umpan pemancing.

"Meskipun permintaan untuk telur ikan bandaraya meningkat, kami menghadapi kesulitan kerana jumlah tangkapan ikan bandaraya yang mempunyai telur juga adalah sedikit.

"Kami menyebarkan kesedaran bahawa ikan bandaraya boleh menjadi sumber pendapatan, dan secara tidak langsung orang ramai akan mula memburu ikan bandaraya," kayanya.

Katanya, selepas penangkapan ikan bandaraya tular di media sosial, terdapat universiti sudi berkolaborasi untuk menjalankan penyelidikan.

"Hasil kajian mendapati ikan terbabit selamat dimakan dan kandungan merkurinya kurang berbanding ikan-ikan lain seperti ikan keli, gelama dan selar.

"Kolaborasi ini adalah satu langkah baik dalam proses pengurangan ikan bandaraya serta menarik perhatian industri untuk menghasilkan produk baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 3:40 PM