GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal hari ini memaklumkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bersedia untuk menjadi pengimport alternatif kepada Padiberas Nasional Bhd (Bernas).

Beliau berkata, kesediaan itu sekiranya Bernas tidak mampu untuk mendapatkan harga beras yang lebih kompetitif bagi menampung keperluan beras tempatan.

Selain itu katanya, Nafas juga mampu untuk mengeluar dan mengedar beras tempatan kerana mempunyai kemudahan seperti kilang, pusat pemberian dan lesen borong.

"Penglibatan awal daripada perjanjian tanah sehinggalah kepada pengeluaran dan pengedaran beras mampu dibuat oleh Nafas.

"Insya-Allah, Nafas akan bersama-sama dalam membantu kerajaan untuk berhadapan dengan tekanan kartel dan menjual beras pada harga munasabah supaya kos sara hidup dapat dikurangkan.

"Ia juga supaya harga beras dapat stabil dan harmoni dalam industri beras sehingga ke pesawah," katanya pada sidang medianya di Pusat Media Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, dari segi harga, pihaknya tetap dengan cadangan dikemukakan sebelum ini iaitu menjualnya pada harga RM30 bagi 10 kilogram (kg).

Dari segi nama beras pula katanya, ia akan diputuskan dalam Mesyuarat Naccol pada masa akan datang

"Yang pentingnya ialah bagaimana kita nak menyelesaikan masalah rakyat. Pasal nama ini soal kedua, tapi saya cadangkan nama itu (Beras Putih Malaysia Madani) supaya sesuai dengan kerajaan yang ada sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 6:18 PM