GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Rata-rata pemain industri menggesa agar kerajaan mengkaji secara mendalam terlebih dahulu sebelum mahu melaksanakan Beras Putih Malaysia.

Demikian kata Presiden Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim), Ismail Awang selepas menghadiri sesi libat urus agensi kerajaan bersama pemain industri mengenai Beras Putih Malaysia Madani di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Ismail berkata, banyak perkara yang belum dikemaskini oleh kerajaan kerana wujudnya lompong pelaksanaannya dan disebabkan itu ia perlu dilihat semula.

"Dalam sesi libat urus itu tadi, rata-rata kita tidak ada membantah kalau kerajaan nak membuat Program Beras Putih Malaysia Madani. Cuma dari segi pelaksanaannya, banyak perkara yang belum dikemaskini lagi.

"Yang pertama apakah kriteria jenis beras yang nak dibungkus dalam Beras Putih Malaysia Madani ini? Misalnya, kerajaan kata Beras Putih Malaysia Madani ini beras import. Kalau beras import, sekarang ini 10 kilogram (kg), bahan mentah beras import RM32.

"Misal kata kerajaan nak jual RM30 kepada pengguna, siapa yang nak tampung RM2 lagi? Dalam perniagaan, kita nak jual satu pek sudah rugi RM2, siapa yang nak tanggung rugi itu?," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Sesi libat urus yang diadakan di KPKM itu dibuat dalam dua sesi di mana sesi pertama membabitkan agensi kerajaan manakala sesi kedua dihadiri oleh pemain industri seperti pengilang, pemborong, peruncit dan pesawah.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengumumkan kerajaan memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih untuk menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.

Syed Abu Hussin dilaporkan berkata, kerajaan turut menetapkan harga siling bagi beras putih itu pada kadar RM30 bagi kampit 10kg manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg).

Mengulas lanjut, Ismail berkata, sekiranya kerajaan mahu menggunakan beras import, subsidi perlulah diberikan.

Bagaimanapun, beliau bimbang sekiranya kerajaan mahu menggunakan beras tempatan, pengeluaran padi semusim hanyalah sekitar 45 peratus.

"Ada masalah musim seperti kemarau. Contohnya di Kedah dan Perlis, sekarang mereka musim kemarau. Macam mana dia nak dapat hasil sasaran 45 peratus pengeluaran beras? Tak mungkin.

"Kedua, keadaan musim di Malaysia, contohnya Kelantan dan Terengganu, bulan September, Oktober, November dan Disember banjir. Tengah tanam padi tiba-tiba datang banjir macam yang berlaku tahun lepas di negeri Kelantan dan Terengganu," katanya.

Di samping itu katanya, rakyat juga akan marah sekiranya Beras Putih Malaysia Madani yang menggunakan beras tempatan ini dinaikkan harga sehingga RM30.

"Ini disebabkan harga sekarang RM26. Tukar kepada Beras Putih Malaysia Madani jadi RM30. Rakyat marah. Sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sudah umum tidak akan membebankan rakyat.

"Kalau Beras Putih Malaysia Madani daripada RM26 naik kepada RM30, itu membebankan," katanya.

Berita berkaitan:

Pemuda UMNO gesa PM halang cadangan perkenal beras Madani

'Adakah Beras Putih Malaysia Madani campuran beras import dan tempatan?' - Exco Terengganu

Kerajaan tak buat pusingan U isu gred beras putih - Fahmi

Kerajaan belum buat ketetapan wujudkan satu gred beras putih

PM yakin harga beras dapat dikurangkan

Selaras harga beras tempatan RM30: Persatuan pengguna bimbang

Kerajaan perkenal beras putih Malaysia Madani pada harga RM30

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 6:32 PM