Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kerajaan digesa menangguhkan rancangan rasionalisasi subsidi petrol dan diesel yang dijangka akan dilaksanakan pada tahun ini buat sementara waktu.

Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya memahami tanggungan beban fiskal negara akibat jumlah subsidi bersasar, namun perlu memahami kesengsaraan ditanggung rakyat.

Menurutnya, ini susulan rakyat terbeban dengan pelbagai masalah termasuk tekanan kos sara hidup dan kenaikan cukai.

"Kalau dilaksanakan, saya 100 peratus yakin bahawa semua barang dan perkhidmatan akan naik harga dan kita akan lihat lebih ramai rakyat akan sengsara.

MUHYIDDIN Yassin. FOTO Bernama
MUHYIDDIN Yassin. FOTO Bernama

"Oleh sebab itu, saya minta kerajaan supaya kaji dengan lebih teliti rancangan rasionalisasi subsidi petrol dan diesel ini.

"Adakah ia sesuai dilaksanakan pada masa ini ketika rakyat sedang berdepan dengan kenaikan harga barang dan kenaikan berbagai jenis cukai yang amat membebankan mereka," katanya semasa membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut melihat Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak berkesan.

Beliau memberi contoh, pengumuman Ahli Parlimen Bukit Gantang yang juga Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengenai pengenalan Beras Putih Malaysia Madani.

"Yang mana mengikut kenyataannya, cadangan ini telah dipersetujui oleh Perdana Menteri. Tetapi selepas itu, Menteri Pertanian (Datuk Seri Mohamad Sabu) membuat kenyataan itu bukan keputusan kerajaan.

"Sudah jadi caca marba. Yang mana satu betul, yang mana satu tak betul. Ini suatu perkara yang perlu diberikan perhatian oleh pihak kerajaan.

"Kemudiannya, Perdana Menteri kata perkara ini akan dibawa kepada NACCOL. Persoalannya, adakah isu beras ini telah diselesaikan? Jawapannya, belum diselesaikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 3:29 PM