SYED Abu Hussin Hafiz. FOTO Arkib NSTP
SYED Abu Hussin Hafiz. FOTO Arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Tindakan membeli beras hancur untuk makanan haiwan dari luar negara, diseludup ke negara ini dan kemudian dibungkus semula sebagai campuran dalam beras putih tempatan adalah 'kerja' untuk memanipulasi harga.

Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, tindakan pembungkusan semula beras itu hanyalah semata-mata bagi mendapatkan keuntungan.

"Jika dibeli daripada luar negara dengan harga yang murah, dibungkus dengan jenis yang berlainan, dia akan mendapat keuntungan. (Maka) dia akan buat. Apa yang berlaku dalam beras sekarang ialah beras import terlalu tinggi. Beras tempatan dihadkan kepada (harga) RM26.

"Jadi, bila beras import tinggi, beras tempatan ini dibungkus semula kepada beras import supaya dapat dijual pada harga yang tinggi.

"Tetapi, bagi kes beras hancur ini, saya belum pasti sama ada beras yang dibawa itu lebih murah atau tidak. Kalau lebih murah, dia tidak akan dibungkus untuk dijual pada harga yang lebih murah. Perbezaan harga itu menyebabkan berlakunya pembungkusan semula," katanya pada sidang medianya di Pusat Media Parlimen hari ini.

Harian Metro menerusi muka depannya baru-baru ini mendedahkan mengenai kegiatan membeli beras hancur untuk makanan haiwan dari luar negara, diseludup ke negara ini dan kemudian dibungkus semula sebagai campuran dalam beras putih tempatan.

Ia adalah taktik licik sebuah syarikat perdagangan beras yang dipercayai menggunakan modus operandi berkenaan untuk mengaut keuntungan mudah dengan cara salah.

Bagaimanapun, kelicikan syarikat berkenaan akhirnya terbongkar susulan pemeriksaan di sebuah kilang beras di Seksyen U5, Shah Alam, yang dilaksanakan penguat kuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB).

Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, bagi mengatasi perkara seumpama ini, tindakan penguatkuasaan oleh kerajaan amat perlu.

"Tidak ada jalan lain. Saya hanya menyedarkan semua pihak supaya pengguna tahu apa yang berlaku.

"Pihak penguatkuasaan patut mengambil tindakan segera apa sahaja dibuat oleh peniaga untuk memanipulasi bagi menipu rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 2:09 PM