Beras Putih Malaysia Madani. FOTO DANIAL SAAD
Beras Putih Malaysia Madani. FOTO DANIAL SAAD
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dituntut memperincikan status Beras Putih Malaysia Madani yang bakal diedarkan di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, jika beras itu adalah beras putih tempatan (SST) maka berlaku kenaikan harga iaitu RM1 bagi setiap kilogram (kg) berbanding hanya RM2.50 kg.

Bagaimanapun, katanya, jika beras itu adalah beras putih import (SSI) maka berlaku penurunan harga iaitu RM3.80 setiap kg.

"Jika Beras Putih Malaysia Madani adalah beras campuran antara tempatan dan import, kita anggarkan komposisi campurannya sudah tentulah mengandungi 60 hingga 70 peratus tempatan, bakinya adalah beras import.

"Kerajaan melalui MOA perlu menjelaskan status sebenar bekalan sumber asas makanan itu kepada rakyat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan Beras Putih Malaysia Madani dijual pada harga RM30 setiap 10kg tetapi beras import yang dijual di jualan Rahmah adalah RM28 setiap 10kg.

Rabu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengumumkan, kerajaan memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih untuk menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.

Syed Abu Hussin dilaporkan berkata, kerajaan turut menetapkan harga siling bagi beras putih itu pada kadar RM30 bagi kampit 10kg manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg).

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Jabi berkata, rakyat berada dalam situasi tiada pilihan dan terpaksa membeli dengan harga yang tinggi jika beras campuran tempatan dan import.

"Kita berpendapat beras itu bukan daripada beras import kerana kuantiti beras itu hanya sekitar 33 peratus dari keperluan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 4:36 PM