SINGA di dalam kandang di di zoo di di Rafah, selatan Gaza. FOTO Reuters
SINGA di dalam kandang di di zoo di di Rafah, selatan Gaza. FOTO Reuters
Reuters

Gaza: Di zoo Rafah, penduduk Gaza berkhemah di antara sangkar-sangkar yang menempatkan monyet, burung kakak tua dan singa, ketika perang berlarutan untuk minggu ke-12.

Hampir semua 2.3 juta penduduk Gaza diusir dari rumah mereka selepas pengeboman Israel menyebabkan sebahagian besar wilayah itu menjadi kawasan runtuhan.

Ramai kini menjejakkan kaki di bandar Rafah di selatan Gaza.

Di zoo persendirian, yang dikendalikan oleh keluarga Gomaa, barisan khemah plastik didirikan berhampiran kandang haiwan dan pakaian yang dicuci digantung di antara pokok palma.

Sementara itu, seorang pekerja dilihat cuba memberi hirisan tomato kepada monyet di situ.

penduduk Palestin yang berlindung di zoo di di Rafah, selatan Gaza. FOTO Reuters
penduduk Palestin yang berlindung di zoo di di Rafah, selatan Gaza. FOTO Reuters

Ramai daripada mereka yang berlindung di zoo adalah ahli keluarga Gomaa yang tinggal di bahagian berlainan di kawasan enklaf itu sebelum konflik memusnahkan kediaman mereka.

"Sekarang semua keluarga kami tinggal di zoo ini.

"Hidup di antara haiwan adalah lebih baik daripada berada di bawah pesawat perang di langit," kata Adel Gomaa, yang melarikan diri dari Bandar Gaza.

Empat monyet sudah mati dan yang kelima kini sangat lemah sehingga tidak boleh makan sendiri apabila makanan tersedia, kata pemilik zoo, Ahmed Gomaa yang bimbang dengan dua anak singa peliharaannya.

"Kami memberi haiwan itu dengan roti kering yang direndam dalam air semata-mata untuk memastikan ia hidup. Keadaannya sungguh tragis," katanya.

PEMUDA Palestin memberi makan kepada monyet di sebuah zoo di Rafah, selatan Gaza. FOTO Reuters
PEMUDA Palestin memberi makan kepada monyet di sebuah zoo di Rafah, selatan Gaza. FOTO Reuters

Ibu anak-anak itu mengalami penurunan separuh daripada berat badannya.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), minggu lalu, memberi amaran bahawa Gaza menghadapi risiko kebuluran dengan seluruh penduduk berdepan tahap krisis kelaparan.

Israel menghentikan semua import makanan, ubatan dan bahan api ke Gaza pada permulaan perang.

Walaupun ia kini membenarkan bantuan masuk ke dalam enklaf, pemeriksaan keselamatan, kesesakan penghantaran dan kesukaran bergerak melalui runtuhan zon perang, menghalang penghantaran bekalan.

Ramai penduduk Palestin di sana mengatakan mereka tidak makan setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 3:49 PM