Reuters

Baitulmaqdis: Amat menyedihkan apabila penduduk Palestin terpaksa menyambut kedatangan Ramadan kali ini dalam suasana suram.

Ia susulan perang yang masih berlarutan di Gaza dan tindakan Israel mempertingkatkan kawalan keselamatan di Tebing Barat.

Suasana ini dapat dilihat di bandar selatan Rafah, yang menempatkan lebih separuh daripada 2.3 juta penduduk Gaza yang kini tinggal bersesak-sesak termasuk di khemah plastik. Mereka juga menghadapi kekurangan makanan yang teruk.

"Kami tidak membuat sebarang persiapan untuk menyambut Ramadan kerana sudah lima bulan kami berpuasa," kata Maha, ibu kepada lima anak.

Wanita itu berkata, lazimnya pada Ramadan, rumahnya meriah dengan hiasan dan peti sejuknya dipenuhi dengan bahan untuk berbuka puasa.

"Tiada makanan, kami hanya ada beberapa makanan dalam tin dan nasi. Kebanyakan barangan makanan dijual dengan harga yang tinggi," katanya menerusi aplikasi sembang dari Rafah, tempat dia berteduh bersama keluarganya.

Penduduk lain turut berkongsi perasaan sama.

KEM pelarian penduduk Palestin di Rafah. FOTO AFP
KEM pelarian penduduk Palestin di Rafah. FOTO AFP

"Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan walaupun pada hakikatnya tahun ini tidak seperti tahun lain, tetapi kami tabah dan sabar, dan kami akan menyambut bulan Ramadan seperti biasa, dengan hiasan, lagu dan doa," kata Nehad El- Jed, yang terpaksa berpindah dari rumahnya di Gaza.

Dia turut mengharapkan situasi itu berubah.

"Ramadan akan datang, kami berharap supaya Gaza kembali (seperti biasa), semoga segala kemusnahan dan kepungan di Gaza akan berubah, dan semuanya akan kembali dalam keadaan yang lebih baik," katanya.

Dalam pada itu, ribuan polis Israel dikerahkan di sekitar jalan-jalan Kota Lama Baitulmaqdis, dengan puluhan ribu jemaah dijangka berhimpun setiap hari di perkarangan Masjid Al-Aqsa.

Kawasan itu menjadi salah satu titik permulaan perang antara Israel dan Hamas pada 2021.

Operasi ketenteraan Israel di Gaza menyebabkan peningkatan kebimbangan di seluruh dunia kerana risiko kebuluran boleh menyebabkan peningkatan jumlah kematian.

Setakat ini, lebih 31,000 penduduk di wilayah dikepung itu sudah terkorban.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 11:17 AM