ANITA dibantu dua adiknya memasak dan menjual kuih kekoh char di bazar Ramadan Kuala Besut. FOTO Nurul Fatihah Sulaini.
ANITA dibantu dua adiknya memasak dan menjual kuih kekoh char di bazar Ramadan Kuala Besut. FOTO Nurul Fatihah Sulaini.
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Strategi seorang peniaga bazar Ramadan Kuala Besut, di sini memasak kuih kekoh char atau dikenali onde-onde di gerainya, berjaya menarik perhatian pengunjung.

Anita Berahim, 36, berkata, dia memilih menghasilkan kuih itu secara 'fresh' dan dijual ketika masih hangat, demi menjamin kualiti makanan itu yang bersalut kelapa.

Selain itu katanya, ia sebagai kelainan memandangkan ramai peniaga lain menjual kekoh char dalam pek yang sudah sedia untuk dimakan.

"Kuih ini memang enak dimakan ketika masih panas atau baru dimasak kerana jika dibiarkan dalam tempoh lama pada suhu bilik, ia boleh jadi masam kerana bersalut kelapa.

"Setiap hari kira-kira 2,000 biji kuih ini habis dijual dan sambutan orang ramai sangat menggalakkan sejak saya mula berniaga di bazar Ramadan, tahun lalu.

"Saya juga menamakan kuih kekoh char kerana lebih sinonim dengan masyarakat tempatan di sini," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, setiap hari dia akan melakukan persiapan untuk berniaga seawal 10 pagi dan akan dibantu dia adiknya di bazar untuk memasak sekali gus menjual.

Katanya, kuihnya dijual pada harga RM1 bagi empat biji dan masih mengekalkan harga jualan yang rendah walau terpaksa menanggung peningkatan kos barang mentah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 1:00 PM