Muhaamad Hafis Nawawi


MESKIPUN kuih-muihnya kekal dijual dengan harga 10 sen sejak 15 tahun lalu, ia tetap memberi keuntungan kepada pasangan suami isteri ini, selain dapat beramal jariah serta memberi kepuasan kepada pelanggan.

Roslina Saad, 50, berkata, tahun ini kali keempat dia berniaga di Bazar Ramadan Felda Lubuk Merbau, Padang Terap dengan menjual 17 jenis kuih seperti cucur badak, karipap, onde-onde, cucur kacang, keria, buah melaka, lopeh dan bermacam-macam lagi.

Menurutnya, sebelum ini dia menetap di Seberang Prai, Pulau Pinang ketika suami bekerja sebagai pemandu lori dan mula berniaga di sana terlebih dahulu.

“Selepas suami berhenti kerja saya kemudian pulang ke kampung dan meneruskan perniagaan ini di sini.

“Jika hari biasa saya menjualkan kuih muih ini secara sejuk beku bersama suami, cuma hanya akan mengupah tiga pekerja untuk berniaga di bazar Ramadan,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro.

PADANG TERAP 13 MEI 2019. Orang ramai mula membanjiri gerai 'cucuq sekupang' yang diusahakan sepasang suami isteri, Roslina Saad dan Zulkifli Abdul Razak. Sebanyak 17 jenis kuih muih dengan harga RM0.10 sebiji yang dijual sejak 15 tahun lalu sepanjang berniaga termasuk tahun keempat berniaga di Bazar Ramadan Lubuk Merbau, Padang Terap. NSTP/SHAHRIZAL MD NOOR
PADANG TERAP 13 MEI 2019. Orang ramai mula membanjiri gerai 'cucuq sekupang' yang diusahakan sepasang suami isteri, Roslina Saad dan Zulkifli Abdul Razak. Sebanyak 17 jenis kuih muih dengan harga RM0.10 sebiji yang dijual sejak 15 tahun lalu sepanjang berniaga termasuk tahun keempat berniaga di Bazar Ramadan Lubuk Merbau, Padang Terap. NSTP/SHAHRIZAL MD NOOR

Roslina berkata, setiap hari sepanjang Ramadan ini dia akan menyediakan kuih-muih bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari manakala sebahagian kuih seperti karipap akan digoreng di bazar Ramadan.

“Alhamdulillah tahun ini jualan kuih muih saya bertambah laris selepas ia tular di media sosial Facebook.

“Saya sendiri tidak ingat siapa yang mengambil gambar sehingga tular, namun berterima kasih kerana rezeki bertambah murah dan mampu terjual sehingga 6,000 kuih sehari,” katanya.

Katanya, kuihnya dibuat kecil sedikit saiznya berbanding kuih biasa namun walaupun dijual 10 sen dia tetap mendapat keuntungan kerana yang penting perlu dibuat dalam kuantiti yang banyak.

“Sambil berniaga saya juga dapat melakukan amal jariah dan setakat ini pelanggan berpuas hati dengan kualiti kuih ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 9:43 PM