Syafil Syazwan Jefri

RAMADAN cukup sinonim dengan pelbagai juadah kuih-muih tradisi yang dijual di Bazar Ramadan seluruh negara.

Antara yang popular ialah buah melaka atau turut dikenali sebagai onde-onde.

Bagaimanapun, penularan pandemik Covid-19 dan pelaksaaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bazar Ramadan tidak dibenarkan.

Penyanyi, Ryan Deedat berkata, ia membuka ruang buatnya untuk belajar cara menghasilkan kuih tradisi itu.

"Ibu saya adalah penggemar kuih tradisi dan selalunya setiap petang saya akan belikan kuih-muih untuknya. Namun, disebabkan PKPB, sukar untuk mencari tempat menjual kuih. Jadi, saya ambil inisiatif untuk belajar dan menghasilkan sendiri buah melaka, katanya.

Menurut penyanyi yang pernah tercalon dalam kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 ini, bahan untuk menghasilkan buah melaka juga mudah didapatkan.

PUAS dapat merasa air tangan sendiri.
PUAS dapat merasa air tangan sendiri.

"Bahan-bahannya tak banyak. Yang perlu ada adalah 250 gram tepung pulut, tiga sudu besar tepung gandum, gula melaka, pes pandan dan kelapa parut. Ada yang kisar sendiri daun pandan, tapi saya gunakan pes yang boleh dibeli di kedai, katanya.

Prosesnya dimulakan dengan mencampurkan adunan tepung dan pes pandan sehingga sebati.

"Pastikan ia diadun sehingga tidak lagi melekat di tangan. Jika masih melekat, tambahkan sedikit tepung. Apabila sudah sebati, gentel dan masukkan gula melaka di bahagian tengahnya dan sambil itu, boleh mula didihkan air untuk merebusnya.

"Apabila buah melaka sudah mula terapung, itu tandanya ia sudah masak dan boleh ditapis sedikit airnya sebelum digaul bersama dengan kelapa parut, katanya.

Menurut Ryan, adunan yang dihasilkan itu dapat menghasilkan lebih kurang 40 buah melaka untuk dihidangkan.

"Sebenarnya, apabila kita hasilkan sendiri, kita akan rasa puas dapat merasa air tangan sendiri. Bila sudah belajar, saya mula faham bahawa memasak pun perlu ada jiwa, katanya.

Selain buah melaka, Ryan juga berpeluang untuk memasak beberapa juadah lain antaranya manisan sira pisang, ayam masak merah serta udang dan ketam masak lemak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 6:30 AM