GAMBAR fail lokasi penemuan rangka Bella. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR fail lokasi penemuan rangka Bella. FOTO Arkib NSTP
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Polis mengesahkan beberapa ketul tulang ditemukan di lokasi penemuan rangka Bella, atau Mila Sharmila, 32, hujung bulan lalu di kawasan rumah terbiar di Jalan Besar Tongkang Pechah, di sini.

Penemuan tulang dipercayai rangka manusia pada 11.30 pagi, pada 28 Februari lalu selepas menerima maklumat orang awam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata susulan itu, pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dipanggil untuk membantu siasatan di lokasi penemuan itu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya menjumpai dua ketul tulang dipercayai bahagian paha, dua ketul tulang betis dan dua ketul tulang keting di lokasi itu.

"Kesemua tulang dijumpai dihantar ke Jabatan Kimia Johor pada keesokan untuk analisa perbandingan DNA.

"Buat masa ini, polis masih menunggu keputusan laporan analisa daripada Jabatan Kimia dan proses itu dijangka mengambil tempoh lebih kurang sebulan," katanya dalam kenyataan.

Justeru, Ismail berkata, polis menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan penemuan ini.

Katanya, individu mempunyai maklumat lanjut, boleh menyalurkan ke talian 07-436330.

Terdahulu, kakak kepada Bella, Norhisham Samsusah, 36, memberitahu, pihak dimaklumkan mengenai penemuan sebahagian rangka di lokasi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 1:03 PM