Alias Abd Rani


Batu Pahat: Keluarga kepada Mila Sharmila Samsusah, 32, atau Bella perlu menunggu selewat-lewatnya minggu depan bagi mendapatkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sama ada rangka ditemui Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, petang kelmarin, milik Bella atau orang lain.

Proses bedah siasat ke atas rangka itu sudah dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, pagi semalam.

Menurut kakaknya, Norhisham, 36, dia sekeluarga dimaklumkan mengenai keputusan itu selepas berhubung dengan pihak polis.

"Kami dimaklumkan keputusan itu (ujian DNA) sama ada minggu ini atau minggu depan," katanya ketika ditemui selepas melawat lokasi penemuan rangka itu, hari ini.

Terdahulu, ibu Bella, Noraini Salleh, 55, bersama beberapa ahli keluarga lain ke lokasi untuk melihat tempat penemuan rangka terbabit.

Difahamkan, rangka terbabit ditemui dalam bilik di belakang rumah terbiar susulan penahanan seorang suspek pada pagi hari penemuan itu.

Mereka sekeluarga mengambil masa kira-kira setengah jam meninjau lokasi itu dan masing-masing kelihatan sayu sebaik melihat tempat penemuan rangka itu.

Sebelum ini, polis memberitahu pihaknya juga sudah mengambil DNA daripada Norhisham atau mesra dengan panggilan Ayu serta ibunya bagi tujuan padanan.

Semalam, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, sampel patologi dari Jabatan Forensik HSI juga sudah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk perbandingan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti si mati.

Rangka terbabit ditemui bersama cebisan kain selepas salah seorang suspek ditahan sebelum dipandu ke lokasi penemuannya.

Namun sehingga kini belum disahkan sama ada rangka ditemui itu milik Bella atau individu lain.

Bella yang juga ibu tunggal dilaporkan hilang pada malam 14 Disember lalu.

Setakat ini, polis menahan tiga individu berusia 24 hingga 39 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketiga-tiga individu terbabit direman sehingga 27 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 2:59 PM