Ismail ketika sidang media di IPD Batu Pahat, hari ini. FOTO Alias Abd Rani
Ismail ketika sidang media di IPD Batu Pahat, hari ini. FOTO Alias Abd Rani
Oleh Alias Abd Rani


Batu Pahat: Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap enam ketul tulang ditemukan berdekatan lokasi penemuan rangka Bella, di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, di sini, dijangka diketahui dalam satu atau dua minggu lagi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, ketika ini, pihaknya masih menunggu laporan kimia terhadap sebahagian tulang ditemukan selepas dihantar ke Jabatan Kimia, 29 Februari lalu.

Beliau berkata, ujian itu dilakukan bagi mengesahkan sama ada keenam-enam tulang terbabit kepunyaan Bella atau nama sebenarnya Mila Sharmila Samsusah, ataupun individu lain.

"Kita dalam proses untuk berusaha mendapatkan laporan itu dan saya percaya, mungkin antara seminggu atau dua lagi (keputusan akan diperoleh)," katanya pada sidang media rampasan mercun di Ibu Pejabat Polis (IPD) Batu Pahat, hari ini.

Turut hadir Timbalannya, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani.

Pada 28 Februari lalu, enam ketul tulang iaitu bahagian paha, tulang betis dan tulang keting ditemukan berhampiran lokasi penemuan rangka Bella, berdekatan rumah sewa terbiar di Tongkang Pechah.

Kesemua tulang terbabit ditemukan pemandu jengkaut ketika melakukan kerja pembersihan, jam 11.30 pagi.

Dalam pada itu, ditanya berkaitan status siasatan berhubung ugutan terhadap kakak Bella, Norhisham, 36, tiga hari lalu, Ismail berkata, pihaknya masih menunggu pengesahan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

"Permohonan (daripada SKMM) adalah untuk mendapatkan maklumat siapa sebenarnya pemilik akaun terbabit. Jika sudah diperoleh, baru kita jalankan siasatan seterusnya.

"Ini termasuk siasatan ke atas pelaku seperti yang didakwa dalam laporan polis pada 17 Mac lalu," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 2:50 PM