SUSPEK pecah rumah ditahan dalam serbuan di kawasan tapak pembinaan di Jalan Lintas, Luyang, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Polis
SUSPEK pecah rumah ditahan dalam serbuan di kawasan tapak pembinaan di Jalan Lintas, Luyang, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Polis
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis menahan seorang lagi suspek kes pecah rumah dalam satu serbuan di sebuah kawasan tapak pembinaan Jalan Lintas, Luyang, di sini, hari ini.

Suspek yang juga buruh binaan dan tidak mempunyai kad pengenalan diri berusia 21 tahun itu ditahan pada jam 2 petang oleh sepasukan pegawai serta anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) JSJ Kontinjen Sabah dan JSJ (IPD) Kunak.

Ketua JSJ Sabah, Senior Asisten Komisioner Azmi Abd Rahim berkata, bertindak dengan maklumat risikan, polis menjalankan serbuan di lokasi sebelum memeriksa seorang lelaki yang dipercayai menjalankan kegiatan kes pecah rumah di sekitar daerah Kunak.

"Pemeriksaan lanjut juga mendapati suspek mengaku terbabit dalam beberapa kes pecah rumah di Kunak.

"Polis juga merampas sebuah televisyen dipercayai hasil kegiatan curi di Kunak yang disembunyikan di dalam bilik selepas dipandu arah oleh suspek," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, suspek mengaku terbabit dalam tujuh kes pecah rumah di sekitar Kunak.

"Barangan yang dicuri sudah dijual kepada beberapa individu di Kunak.

"Suspek kini sedang ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 7:22 PM