ANGGOTA  keselamatan membuat sekatan jalan raya sempena PKP. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
ANGGOTA keselamatan membuat sekatan jalan raya sempena PKP. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Abdul Rahemang Taiming


TINDAKAN seorang lelaki yang cuba meloloskan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya sia-sia apabila dia ditahan polis semalam.

Dalam kejadian pada 8.35 pagi, suspek lelaki tempatan berumur 32 tahun memandu kereta jenis Proton Persona melalui SJR di Kilometer 50, Jalan Tawau-Kunak.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, ketika pemeriksaan dijalankan suspek memaklumkan sedang dalam perjalanan dari bandar Tawau dan ingin ke pekan Kunak.

Menurutnya, anggota keselamatan bagaimanapun mengarahkan suspek berpatah balik kerana tindakannya melanggar arahan PKP.

“Namun begitu, suspek enggan menuruti arahan polis, sebaliknya bertindak memecut kenderaannya menuju ke arah Kunak.

“Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan kira-kira setengah jam kemudian selepas mendapat bantuan dari balai polis Kunak,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Peter berkata, lelaki itu ditahan dan disiasat mengikut Sek 270 Kanun Keseksaan, Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempat Kejadian 2020, Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967, dan Seksyen 78 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 8:41 AM