SEJUMLAH wang tunai dan barangan yang dirampas susulan penahanan dua beradik disyaki terbabit kes samun. FOTO Ihsan Polis
SEJUMLAH wang tunai dan barangan yang dirampas susulan penahanan dua beradik disyaki terbabit kes samun. FOTO Ihsan Polis
Juwan Riduan


Beaufort: Penahanan dua beradik membongkar kegiatan jenayah mereka dalam kes pecah rumah di daerah ini membabitkan kerugian RM78,000.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Ismail Abdullah berkata, suspek lelaki berusia lingkungan 20 tahun ditahan di Kota Kinabalu pada 7 November lalu kerana disyaki terbabit dengan beberapa kes pecah rumah dan ceroboh di daerah ini dan Kota Kinabalu.

"Siasatan awal mendapati, suspek disyaki turut terbabit dengan pecah rumah di Beaufort pada 5 November lalu yang mengakibatkan kerugian wang tunai sebanyak RM78,000.

"Suspek memasukkan wang hasil pecah rumah itu ke dalam beberapa nombor akaun milik ahli keluarganya," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail berkata, Rabu lalu, polis dari cawangan D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) dibantu pasukan JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort menangkap kakak suspek berusia lingkungan 30 tahun disyaki sebagai pemilik akaun penerima wang daripada suspek.

Katanya, rampasan wang tunai berjumlah RM30,320 berjaya dibuat sepanjang tempoh siasatan kes ini dijalankan.

"Suspek wanita terbabit kini direman di IPD Beaufort selama tujuh hari bermula 9 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Tangkapan lelaki masih ditahan di IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut kes pecah rumah di Kota Kinabalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 6:20 PM