ABDULLAH Kamal (kanan) menyampaikan bayaran faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000 serta Kotak Prihatin PERKESO kepada Norsham di Shah Alam. FOTO Ihsan Perkeso.
ABDULLAH Kamal (kanan) menyampaikan bayaran faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000 serta Kotak Prihatin PERKESO kepada Norsham di Shah Alam. FOTO Ihsan Perkeso.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor mensasarkan 12,000 suri rumah negeri ini mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) tahun ini.

Timbalan Pengarah Perkeso Selangor, Abdullah Kamal Ahmad berkata setakat ini seramai 10,122 suri rumah yang mencarum di bawah skim berkenaan.

"Daripada jumlah berkenaan, seramai 6,217 mencarum terus dengan Perkeso manakala 3,905 orang lagi dicarumkan oleh kerajaan.

"Kalau boleh kita mahu lebih ramai yang carum dalam SKSSR ini sebab mereka mendapat manfaat dengan mencarum sejumlah RM120 sahaja setahun," katanya selepas menyampaikan bayaran faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000 serta Kotak Prihatin Perkeso kepada waris pencarum SKSSR di sini, hari ini.

Abdullah Kamal berkata, dengan hanya membayar RM120, waris pencarum akan mendapat pencen penakat RM300 sebulan dan bayaran faedah pengurusan mayat RM2,000.

Katanya, pendaftaran untuk mendapatkan skim berkenaan amat mudah kerana suri rumah tidak perlu mengemukakan apa-apa dokumen bagi membuktikan mereka tidak bekerja langsung.

"Tiada umur minimum untuk mendaftar SKSSR. Cuma had maksimum bagi mendaftar skim ini adalah 55 tahun.

"Jadi, jangan lepaskan peluang bagi rebut peluang ini. Ini adalah satu inisiatif baik yang diperkenalkan Perkeso," katanya.

Dalam pada itu, Norsham Hassan, 45, ia tidak mengetahui arwah isterinya, Rosmawati Mohd Safri, 38, seorang daripada individu yang mendapat perlindungan daripada SKSSR.

"Saya amat terharu kerana Perkeso sangat prihatin dan bersungguh untuk mendapatkan butiran arwah isteri.

"Duit pencen penakat ini saya diberi terus kepada tiga anak bagi kegunaan harian mereka," katanya yang bekerja sebagai penyelia projek lebuh raya di sebuah syarikat swasta.

Arwah Rosmawati meninggal dunia pada 13 Ogos lalu akibat serangan jantung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 4:51 PM