ANGGOTA bomba melakukan pencarian mangsa di sekitar Sungai Kedah. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba melakukan pencarian mangsa di sekitar Sungai Kedah. FOTO ihsan bomba
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang wanita dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Kedah di Jalan Pekan Cina, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Wan Azizul Hakim Wan Jaafar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 2.26 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Jalan Raja yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II KUP Zulkifli Halim tiba di lokasi bersama lima anggota.

"Setibanya di lokasi, Komander Operasi memaklumkan seorang wanita dipercayai terjatuh ke dalam sungai berkenaan dan setakat ini belum ditemui.

"Dua bot aluminium dari BBP Jalan Raja dan BBP Alor Setar tiba di lokasi untuk melakukan pencarian mangsa.

"Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jitra dikerahkan ke lokasi untuk melakukan pencarian di lokasi wanita itu dilaporkan terjatuh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 4:07 PM