Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Warga emas dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke Sungai Kedah, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.22 pagi.

Beliau berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Arizal Mahmud dikerah ke lokasi.

"Kami berusaha mengesan mangsa di sekitar kawasan persisiran sungai selain di permukaan sungai. Kami turut menggunakan dua bot dari BBP Jalan Raja dan Alor Setar," katanya.

Menurut beliau, 25 anggota, termasuk 16 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Jitra dan Sungai Petani, terbabit dalam operasi itu.

ANGGOTA bomba melakukan pencarian menggunakan bot di lokasi warga emas dilaporkan terjatuh di Sungai Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA bomba melakukan pencarian menggunakan bot di lokasi warga emas dilaporkan terjatuh di Sungai Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Setakat ini, mangsa masih belum ditemui.

Sementara itu, anak kepada warga emas itu bergegas ke kawasan sungai yang terletak berhampiran kediamannya selepas terjumpa nota ditulis ayahnya di rumah.

"Sebaik tiba, saya menemui sepasang selipar milik ayah tetapi dia tiada di kawasan sekitar. Menurut orang awam, ada saksi ternampak ayah terjatuh ke sungai dan ada yang cuba untuk membantu namun gagal," katanya.

Wanita itu berkata, bapanya, 65, adalah pesakit psikiatri dan masih mendapatkan rawatan namun dia tidak pernah keluar merayau.

Katanya, dia terkejut apabila menemui nota itu dan berharap bapanya selamat.

"Saya anak tunggal dan berharap bapa segera ditemui," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 3:12 PM