Lima lelaki yang ditahan APMM selepas disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan peledak di perairan Pulau Mengalum, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan APMM
Lima lelaki yang ditahan APMM selepas disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan peledak di perairan Pulau Mengalum, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan APMM
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan lima lelaki dan merampas dua bot selepas dipercayai melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan peledak dalam dua kejadian berasingan di sekitar perairan Pulau Mengalum, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, kedua-dua bot berkenaan ditahan oleh bot peronda APMM yang sedang melakukan rutin rondaan di kawasan perairan pulau berkenaan.

Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, ketika rondaan, bot peronda mengesan sebuah bot pam di kedudukan 16 batu nautika Timur Laut Pulau Mengalum, dinaiki dua lelaki.

"Ketika pemeriksaan, kedua-dua lelaki terbabit gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri, lesen bot dan lesen perikanan.

"Kedua-dua lelaki itu disyaki melakukan aktiviti mengebom ikan berdasarkan kepada hasil tangkapan serta peralatan yang ditemui," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, bot kedua pula bersama tiga lelaki ditahan di kedudukan 18.80 batu nautika Timur Laut Pulau Mengalum.

Katanya, ketiga-tiga mereka turut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri, lesen bot dan lesen perikanan.

"Ketiga-tiga mereka juga disyaki melakukan aktiviti bom ikan berdasarkan bukti yang sama.

"Kedua-dua bot dan semua lima lelaki dibawa ke Jeti APMM Sabah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat," katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 8:11 AM