GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Seremban: Seorang wanita warga emas berusia 66 tahun mengalami kerugian RM173,500 selepas terperdaya dengan sindiket 'phone scam', di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, wanita itu mendakwa pada mulanya dia menerima panggilan daripada seorang individu menyatakan kononnya dia mempunyai bungkusan meragukan, sebelum talian disambungkan kepada 'polis'.

"Mangsa ditakutkan dengan rekod kesalahan pengubahan wang haram dan arahan waran tangkap sehingga dia mengikut segala arahan supaya memindahkan wang keseluruhan RM173,500 kepada beberapa akaun yang diberikan.

"Mangsa menyedari ditipu apabila suspek menyekatnya daripada menghubungi mereka selepas transaksi dilakukan, dan dia kemudian membuat laporan polis semalam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan menyeru masyarakat untuk sentiasa peka dan cakna dengan trend sindiket penipuan yang semakin berleluasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 7:52 PM