Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supritendan V. Saravanan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supritendan V. Saravanan.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Seorang kerani kerugian RM326,100 selepas diperdaya sindiket penipuan menerusi panggilan telefon atau 'phone scam'.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V Saravanan berkata, mangsa berusia 51 tahun mendakwa menerima panggilan daripada suspek menyamar sebagai pegawai syarikat utiliti dan pegawai polis pada Julai lalu.

Katanya, suspek mendakwa mangsa terbabit dalam kes kecurian pendawaian elektrik serta penggubahan wang haram.

"Mangsa bagaimanapun menafikan pembabitannya dalam kes itu sebelum disambungkan kepada seorang `pegawai polis'.

"Panggilan itu kemudian disambung kepada suspek ketiga kononnya boleh membantu menyelesaikan masalah itu. Mangsa kemudian diarah memindahkan wang berjumlah RM326,100 secara berperingkat ke enam akaun tempatan bagi tujuan siasatan, " katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini, tadi.

Mengulas lanjut Saravanan berkata, wanita itu mengikut arahan suspek selepas mendakwa wang berkenaan akan dikembalikan apabila mangsa hadir ke Mahkamah Georgetown pada 30 Ogos.

Katanya, mangsa hanya menyedari dirinya diperdaya selepas suspek sering meminda tarikh ke mahkamah selain meminta mangsa membuat pindahan wang dari akaun bank luar negara sekiranya ada.

"Mangsa tampil membuat laporan polis kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Saravanan memaklumkan polis menerima sebanyak 905 laporan membabitkan kerugian jutaan ringgit berhubung penipuan phone scam sejak Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 3:39 PM