GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Asrol Awang


Kuantan: Seorang juruteknik kerugian RM103,929 selepas terpedaya dalam urusan jual beli kenderaan yang tidak wujud.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa, 36, tertarik dengan tawaran membeli Mercedes GLC 300 yang diiklankan di Facebook pada harga RM65,500 pada 22 Jun.

Katanya, mangsa mula menyedari dirinya ditipu selepas melakukan 24 transaksi kepada empat akaun, menyebabkan kerugian RM103,929.

"Sumber kewangan adalah daripada wang simpanan mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kes lain, beliau berkata, warga emas, 75, kerugian RM140,600 selepas terpedaya sindiket Phone Scam, 11 Ogos lalu.

Katanya, wanita itu menerima panggilan telefon kononnya daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan bil di Beserah.

"Mangsa juga dikatakan terbabit dalam pengubahan wang haram dan juga kegiatan penjualan dadah," katanya.

Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada individu mendakwa dirinya pegawai polis dan mangsa memberikan butiran akaun bank serta nombor kod pengesahan transaksi (TAC).

"Mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati 15 transaksi dibuat dalam akaun peribadinya kepada beberapa akaun yang belum dikenal pasti sehingga menyebabkan kerugian RM140,600," katanya.

Yahaya berkata, dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 5:44 PM